Pelakon Nazim Othman mengakui sudah mula membuat perancangan untuk menamatkan kariernya sebagai pelakon.
‘Saya memang mahu bersara..’
Ketika ditemui di sidang media drama Ramadan Raya TV3 yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor pada Khamis, Nazim atau nama sebenarnya Nushrul Alif Nazim Othman bagaimanapun enggan mendedahkan tentang keputusan pengundurannya.
Saya memang mahu bersara daripada industri hiburan tanah air tetapi terlalu peribadi untuk saya kongsikan sebabnya.
Apapun, keputusan saya ini bukanlah berkaitan dengan industri tetapi lebih kepada hal privasi.
Dalam pada itu, Nazim berkata dia akan mengumumkan berita tersebut bila tiba waktu yang sesuai tetapi beberapa kenalan rapatnya sudah pun sedia maklum tentang perancangan tersebut.
Bila tarikh atau waktu saya mahu bersara juga saya tak boleh dedahkan. Tunggu dan lihat sahajalah nanti.
Pelakon berusia 40 tahun itu turut berharap agar hasratnya untuk berlakon filem sebelum meletakkan tanda noktah dalam karier seninya tercapai.
Saya juga pernah bercakap dengan beberapa pengarah dan menyuarakan hasrat agar dapat berlakon filem sebelum bersara. Sepanjang 15 tahun menjadi anak seni, saya tidak pernah berlakon filem. Semoga impian itu akan tercapai sebelum saya bersara.
Tentang perancangan masa depan, semua saya sudah sediakan. Saya ada ‘exit plan’ sendiri apa yang hendak dibuat selepas ini. Apa sahaja yang hendak dilakukan saya perlu fikir secara terperinci.
Sekadar info, Nazim bakal tampil dalam drama berjudul Wanita Syurga yang bakal bersiaran bermula 15 Mac ini untuk slot Akasia di TV3.
Drama tersebut turut dibintangi pelakon lain seperti Redza Rosli, Siti Khadijah Halim, Riena Diana dan Marissa Yasmin.