Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, 30, tiba di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kira-kira jam 11:50 pagi bagi sebutan kedua kes cerai talak dengan kebenaran mahkamah terhadap suaminya, aktor Aliff Aziz.
Harapan Bella
Bella yang mengenakan jubah berona biru muda berdoa agar segala proses hari ini dipermudahkan dan berjalan lancar.
Saya harap dipermudahkan untuk proses hari ini. Doakan saya, insya-Allah. Semoga berjalan lancar, harap tiada apa-apa masalah.
Bella hadir ditemani ibunya, Siti Zarina Astillah bersama beberapa individu lain dipercayai ahli keluarganya.
Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Bella, Azmi Mohd Rais berkata Aliff akan menyatakan pendiriannya sama ada mahu melafazkan cerai atau tidak.
Saya dimaklumkan oleh peguam Aliff, dia akan datang pada prosiding hari ini. Yang fast track sudah tiada, hari ini sudah jadi kes lafaz cerai biasa. Aliff akan menyatakan pendirian dia sama ada mahu lafaz cerai atau tidak.
Jika tidak lafaz cerai akan ke proses Jawatan Kuasa Pendamai (JKP). Berapa peratus untuk Aliff lafaz cerai hanya peguam dia sahaja yang tahu. Kalau jadi lafaz cerai hari ini akan jadi talak dua.
Pada 13 Mac lalu, Bella telah memfailkan perceraian terhadap Aliff secara ekspres namun penyanyi itu tidak muncul pada hari perbicaraan.
Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3.
Pasangan ini pernah mengambil keputusan untuk bercerai pada 16 Mei 2019 selepas Aliff beberapa kali kantoi berlaku curang namun kembali rujuk ketika Bella dalam tempoh edah.
Terdahulu, rumah tangga Bella dan Aliff, sekali lagi menjadi topik hangat apabila suaminya itu didakwa terbabit dalam kes khalwat bersama pelakon, Ruhanies, 32, di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 8 Mac lalu.
Manakala Bella mengakui berlaku curang dengan pelakon baharu Muaz Zabir pada tahun lalu atas sebab mahu membuatkan suaminya yang ketika itu mempunyai skandal berasa cemburu.