Di Instagram, Chef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih mesra disapa Chef Wan menafikan dakwaan yang viral mengatakan dia menipu gaji pekerjanya.
Dakwaan tidak betul
Menurut Chef Wan, peranannya dalam Kumpulan Restoran Chef Wan (CWGR) adalah mengendalikan resipi serta kualiti makanan, manakala soal penggajian adalah tugas rakan perniagaannya.
Sejak permulaan kerjasama ini, memang dari awal saya sudah terangkan secara jujur dan ikhlas. Saya tak buat keputusan untuk gaji kakitangan atau mengambil, memecat kakitangan dan operasi.
Jadi, saya menyoal rakan (perniagaan) dan GM (Pengurus Besar) untuk jelaskan kepada saya jika ia betul (dakwaan) kerana membabitkan nama saya yang tidak berdosa ini. Saya diberitahu dakwaan itu tidak betul.
Tambah Chef Wan, memang ada kakitangan mereka yang diberhentikan dan dipotong gaji atas faktor prestasi kerja, tidak berdisiplin atau didapati menipu syarikat.
Jadi, sebahagian kakitangan ini tidak gembira dan berhenti kerja. Ada pula asyik bergaduh dan memberi kesan kepada kualiti perkhidmatan dan makanan kami.
Takkan mereka sampai tak boleh ditegur? Takkan sebagai majikan, kita nak tunduk kepada perbuatan-perbuatan fitnah atau ugutan mereka? Jadi saya cuba fahamkan kedua pihak kerana ingin mencari puncanya supaya nama saya tak tercalar.
Terdahulu, CWGR mengeluarkan kenyataan bahawa penularan itu adalah berita palsu. Syarikat terbabit memberi amaran tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.