Seorang doktor perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret, hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual dan menghasilkan serta memiliki gambar pornografi terhadap enam kanak-kanak yang juga pesakitnya di Hospital Kemaman.
Didakwa hasil gambar pornografi
Memetik laporan Kosmo, tertuduh yang dikenali sebagai Dr. Anas Ramli, 32, membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan lima pertuduhan, tertuduh didakwa menghasilkan gambar pornografi lima kanak-kanak perempuan berusia antara tujuh hingga 11 tahun di sebuah bilik rawatan di wad Hospital Kemaman pada bulan Disember 2022 hingga Februari 2023.
Bagi kelima-lima pertuduhan tersebut, Anas didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh juga dikenakan maksimum enam kali sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh payudara kanak-kanak berusia 12 tahun di sebuah bilik rawatan hospital sama pada waktu petang.
Berikutan daripada itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Di samping itu, tertuduh turut didakwa memiliki gambar lucah yang disimpan di dalam telefon bimbitnya. Anas didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.