Pelakon Datin Seri Umie Aida dan usahawan kosmetik Datuk Alha Alfa berjaya mengumpul dana sebabnyak RM300,000 menerusi program Bersamamu Rafah yang diadakan, semalam.
Hasil sumbangan rakan selebriti dan usahawan
Menurut Umie yang juga penaung Musolla Aisya berkata, kutipan tersebut berjaya dikumpul hasil sumbangan daripada rakan selebriti dan usahawan yang hadir ke program berkenaan.
Alhamdulillah Datuk Alha selalu menyokong dan kami berkerjasama sejak tahun lalu yang mana kami pernah buat program bersama berkaitan Palestin juga.
Tujuan kami malam ini memang nak kumpul dana untuk sama-sama membantu saudara kita di Palestin. Semoga menjadi inspirasi buat semua.
Tambah Umie, kesemua kutipan tersebut akan disumbangkan menerusi Pertubuhan Cinta Gaza Malaysia.
Jelas Umie lagi, mereka menyasarkan kutipan sebanyak RM500,000. Oleh sebab itu, pihaknya akan terus membuka Tabung Bersamamu Rafah bermula 25 Mei sehingga 8 Jun depan bagi membolehkan orang ramai membuat sumbangan.
Selaku penaung Pertubuhan Erat Kasih Alha Alfa (Pekaa), Alha turut menyumbangkan sebanyak RM150,000 pada malam berkenaan.
Katanya, ia merupakan hasil kutipan jualan produk di platform TikTok miliknya sekali gus berharap agar masyarakat Malaysia dapat bersama-sama menjayakan usaha ini.
Setiap sumbangan yang diberikan akan membawa sinar harapan kepada saudara-saudara kita di Rafah yang sedang menghadapi pelbagai kesukaran. Marilah kita berganding bahu untuk membantu mereka yang memerlukan. Kami mengalu-alukan kehadiran semua pihak untuk menyertai majlis ini dan menyumbang kepada Tabung Bersamamu Rafah.
Marilah kita berganding bahu untuk membantu mereka yang memerlukan dan mengukuhkan lagi ikatan kasih sayang sesama manusia.
Majlis yang berlangsung lebih kurang tiga jam itu turut diisi dengan bacaan Yasin, persembahan silat dan pelancaran lagu berjudul ‘Bersamamu Rafah’ yang dihasilkan dalam masa dua hari sahaja.
Antara rakan artis yang hadir pada majlis tersebut ialah, Zizi Kirana, Lufya, Kaka Azraff, Erma Fatima, Zahida Rafik, Fouziah Ghous, Kumpulan UNIC, Ramli Sarip, Vanida Imran, Beto Kusyairi dan ramai lagi.