Tiga individu yang ditahan polis pada minggu lalu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan menerusi aplikasi X.
Tertuduh mengaku tak bersalah
Mengikut pertuduhan, Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, bersama dua teman wanitanya Norhidayah Mahadi, 24, dan Norshazrina Md Zamri, 27, dituduh mengikut Seksyen 372 (1)(e) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama bawah Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan tidak boleh dijamin dan mengambil kira kepentingan awam.
Bagaimanapun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Sementara itu, peguam yang mewakili semua tertuduh, merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar yang minimum kerana tiada elemen menunjukkan mereka akan melarikan diri memandangkan mereka adalah rakyat tempatan malah keluarga mereka tinggal di sini.
Difahamkan, Hasil Ikhwan atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Hot Daddy’ perlu menjaga bapanya berusia 67 tahun yang mempunyai sejarah sakit buah pinggang selain mempunyai tiga anak berusia 12, 10 dan empat tahun.
Norshazrina bekerja sebagai pengurus swasta dengan gaji RM4,000 sebulan dan menanggung ibu berusia 56 tahun yang mempunyai penyakit jantung manakala Norhidayah tidak mempunyai pendapatan tetap.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Siti Aminah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Februari depan untuk serahan dokumen.