Pelakon, Hun Haqeem terkejut apabila mendengar kenyataan yang dikeluarkan syarikat Metrowealth International Group (MIG) yang mendakwa dia perlu membayar ganti rugi berjumlah RM613,960 kepada syarikat tersebut.
Terkejut kena bayar ganti rugi
Ketika ditemui Hun atau nama lengkapnya Haqeem Hermy berkata dia memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan selain mempersoalkan tindakan syarikat berkenaan mendedahkan kes itu kepada umum.
Saya terkejut juga kerana kes ini dah berjalan sejak 2020. Semasa pusingan pertama dan keputusan memihak kepada saya, saya pun tak ada buat apa-apa kenyataan sebab ia berbalik kepada matlamat saya untuk menjaga nama baik industri. Bila tiba-tiba ia keluar, saya tertanya-tanya juga kenapa ia muncul semula.
Hun berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Ramadan Astro 2024, yang berlangsung di M Resort@ Hotel Kuala Lumpur, pada Khamis.
Dalam masa sama, aktor berusia 26 tahun itu berkata dia tidak menyimpan rasa marah dan memilih untuk bersikap profesional dengan Pengarah Urusan MIG, Datuk David Teo.
Semasa di mahkamah, kalau David ada, saya salam. Saya okay sahaja dengan dia. Tak ada menyimpan dendam atau apa sebab dunia ini kecil sahaja.
Saya tak mahu buat benda tak baik kepada orang kerana kita akan berjumpa semula.
Kita semua mesti nak selesaikan benda ini dengan baik. Apa sahaja perintah mahkamah, saya turutkan. Saya tak pernah mengelak atau apa.
Tambah pelakon drama Cinta Wrong Direction itu, dia juga enggan memanjangkan perkara berkenaan bagi memastikan kesihatan mentalnya terjaga.
Sebelum ini, saya pernah kongsikan mengenai kesihatan mental yang terganggu. Sewaktu PKP, kita tak boleh buat apa-apa dan pada masa sama, dapat saman.
Sedikit sebanyak rasa terkilan sebab saya cuma nak mengharumkan nama industri sebab ada banyak potensi. Kita ada banyak platform dan sebagainya.
Tapi, hujung-hujung, kita menikam sesama sendiri sedangkan boleh bantu naikkan satu sama lain.
Terdahulu, David Teo mendedahkan mengenai kemenangannya atas kes saman terhadap Hun dan mengatakan pelakon itu diperintahkan Mahkamah Sesyen untuk membayar sejumlah ganti rugi sebanyak RM613,950.
Ganti rugi berkenaan diperintahkan susulan aktor itu didakwa melanggar kontrak dengan MIG.
Hun didakwa keluar daripada syarikat tersebut ketika kontraknya masih berbaki dua tahun. Difahamkan, anak kelahiran Sarawak itu sudah membayar separuh daripada ganti rugi berjumlah RM30,240.