Jauh perjalanan, luas pemandangan. Itu lah peribahasa yang paling sesuai bagi menggambarkan perasaan penulis ketika bercuti selama enam hari lima malam di Taiwan dalam kempen Salam Taiwan.
Indahnya bumi Taiwan
Sejujurnya, sebelum ini penulis akui sedikit asing apabila mendengar Taiwan dipilih menjadi lokasi pelancongan terutama kepada golongan Muslim. Namun, selepas penulis sendiri menjejakkan kaki ke negara tersebut, tanggapan yang terlintas sebelum ini meleset serta merta.
Hal ini kerana kempen Salam Taiwan telah membuka mata penulis mengenai perkembangan, kemudahan, makanan dan tempat menarik yang sememangnya mesra Muslim sekali gus penulis tidak lagi berasa bimbang.
Buat mereka yang merancang untuk menjadikan Taiwan sebagai lokasi percutian dan tidak tahu ke mana ingin pergi? Jom penulis kongsikan lokasi dan aktiviti menarik yang boleh dilakukan. Penulis yakin dan pasti anda akan teruja! Cukup enam hari anda akan jatuh cinta dengan Taiwan!
Day 1: Jatuh cinta dengan Kaohsiung
Selepas mengambil penerbangan dari Malaysia, penulis mencadangkan anda untuk mendarat di lapangan terbang Kaohsiung dan memulakan percutian anda di bandar kedua terbesar di Taiwan itu. Anda boleh singgah ke sebuah restoran yang menghidangkan pelbagai jenis pencuci mulut dan minuman iaitu REVE Cafe yang membawa maksud ‘mimpi’ dalam bahasa Perancis. Pastikan anda memesan air kopi yang sangat popular dan menjadi best seller di restoran itu, hilangkan dahaga di tekak selepas lima jam penerbangan.
Selepas itu, lokasi wajib seterusnya anda perlu ke i-Ride Kaohsiung bagi merasai pengalaman menyaksikan teater terbang visual 3D yang bergerak 360 darjah. Ketika menaiki i-Ride tersebut, anda akan dibawa ‘terbang’ menjelajah ke seluruh Taiwan termasuk melihat gunung-ganang, lautan, persisiran pantai, perkampungan kecil, suasana bandar dan banyak lagi! Jujur penulis katakan waktu menaiki i-Ride memang teruja dan ada momen menjerit.
Pada waktu petang, anda boleh singgah ke Pier 2 Art Centre. Ketika berada di situ, anda akan melihat dua ekor patung getah itik gergasi berwarna kuning di atas air, memang comel! Di lokasi sama juga boleh melakukan aktiviti air seperti berkayak. Terdapat juga beberapa gerai yang menjual makanan, minuman dan pakaian di kawasan berkenaan.
Selepas penat berjalan, anda boleh tambah semula tenaga dengan singgah ke sebuah restoran Muslim iaitu Chen Lili Indonesian yang menghidangkan makanan tradisi Indonesia. Memang sedap dan kenyang. Selepas penat berjalan, anda boleh berehat dan tidur di hotel empat bintang yang terletak di Kaohsiung iaitu Chateau De Chine Hotel.
Day 2: Naik feri, kubu tentera & rumah api
Memasuki hari kedua, penulis mencadangkan untuk singgah ke beberapa lokasi bersejarah di Kaohsiung seperti Cijin Old Street, Star Tunnel, Qihou Fort dan Kaohsiung Lighthouse. Untuk ke lokasi tersebut, boleh menaiki feri di kawasan Sizihwan dan merasai pengalaman berlayar selama beberapa minit.
Ketika berada di Kaohsiung Lighthouse iaitu rumah api, anda bakal merasai pengalaman menyaksikan seluruh bandar Kaohsiung dari pemandangan yang tinggi, sangat tenang dan indah. Sementara itu, anda juga boleh singgah ke Qihou Fort yang mana merupakan kubu pertahanan tentera Taiwan beratus tahun dahulu.
Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan, penulis berpeluang untuk mendirikan solat Jumaat di sebuah masjid yang terkenal di Kaohsiung. Jadi untuk lelaki Muslim anda tidak perlu risau. Paling seronok, terdapat sebuah kedai makan Muslim yang terletak bersebelahan dengan masjid tersebut, usai solat Jumaat boleh terus hirup sup daging panas.
Day 3: Tenangnya bandar Tainan
Selesai bermalam dua hari di Kaohsiung, penulis menyarankan anda untuk pergi ke bandar Tainan. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 40 minit hingga 1 jam. Lokasi pertama yang anda boleh singgah ketika sampai sahaja di Tainan adalah Tainan Ten Drum Cultural Village.
Menurut sejarah, Tainan Ten Drum Cultural Village merupakan sebuah kilang lama yang memproses gula, namun pihak kerajaan telah mengambil inisiatif untuk menjadikan pusat tarikan pelancong. Antara aktiviti menarik di situ adalah flying fox, wall climbing, muzim Harry Porter, persembahan teater dan banyak lagi. Lokasi Tainan Ten Drum Cultural Village juga sangat tenang kerana dikelilingi dengan tumbuhan hijau dan terdapat kolam ikan.
Pada sebelah petang, anda boleh singgah ke sungai Anping. Di situ anda boleh menaiki bot atau dikenali sebagai canal cruise untuk dibawa bersiar-siar sepanjang sungai dan melihat keindahan suasana Anping. Paling seronok, anda akan dihidangkan dengan alunan muzik oleh seorang pemain saksofon. Difahamkan, sungai Anping merupakan sebuah sungai yang sibuk pada waktu pagi dan menjadi laluan para nelayan.
Sudah pasti seharian berjalan anda akan berasa lapar, justeru penulis mencadangkan anda untuk singgah ke Mamamia Asia Foods yang menghidangkan makanan asal Indonesia. Selain makanan yang sedap, pemilik kedai juga sangat peramah. Ketika berada di Tainan, anda disarankan untuk menginap di Queena Plaza Hotel yang diiktiraf sebagai hotel lima bintang.
Day 4: High Speed Rail ke Taipei
Pada hari keempat, penulis ingin mengajak anda untuk menaiki kereta api berkelajuan tinggi iaitu High Speed Rail. Anda boleh naik dari stesen Chiayi menuju ke Taipei dan perjalanan hanya mengambil masa satu jam. Sekiranya anda menaiki kereta, difahamkan perjalanan ke lokasi sama bakal mengambil masa selama empat hingga lima jam. Kelajuan maksimum High Speed Rail adalah 350 km/jam.
Setibanya di Taipei, anda dinasihatkan untuk mengenakan baju yang tebal memandangkan suhu di bandar tersebut agak rendah, mencecah 9 darjah celcius pada satu-satu masa. Bandar Taipei sangat meriah dan sibuk dengan aktiviti harian penduduk memandangkan ia merupakan ibu kota Taiwan.
Tiba di Taipei, tidak sah kalau anda tidak singgah ke sebuah restoran halal yang menghidangkan mi tarik iaitu Halal Beef Noodle House. Anda juga berpeluang untuk melihat sendiri bagaimana cara pembuatan mi tarik. Selain mi yang menjadi tarikan utama, terdapat juga makanan sampingan lain seperti dumpling, jeruk dan lain-lain.
Selepas itu, anda boleh singgah ke Pineapple Cake DIY yang merupakan jenama kek nanas popular di Taipei dan memiliki sijil halal yang sah. Paling seronok, anda boleh adunkan dan menghasilkan kek nanas hasil air tangan sendiri. Kemudian, anda boleh pergi ke Rongjin Gorgeous Time Park untuk melihat taman bunga kecil sakura.
Sudah penat berjalan, penulis mencadangkan anda menikmati secawan kopi panas di sebuah kedai Turkiye iaitu Landing at Saturn Turkish Coffee. Uniknya cara menyediakan kopi tersebut, mereka memasak menggunakan pasir yang panas iaitu suhu mencecah 300 darjah celcius. Selesai layan kopi panas, anda boleh singgah ke sebuah restoran piza iaitu Gusto Pizza sebagai pilihan makan malam.
Tak lengkap percutian anda jika datang ke Taipei tetapi tidak singgah ke pasar malam yang sangat terkenal iaitu Raohe Night Market. Pasar sepanjang enam meter itu menjual pelbagai jenis makanan, minum, pakaian, aksesori dan macam-macam lagi. Pastikan bawa duit lebih, memang rambang mata. Penat berjalan, untuk malam keempat anda dicadangkan untuk menginap di Fuji Grand Hotel.
Day 5: Bunga Sakura & Grand Hotel
Siapa kata sudah habis tempat menarik? Tidak lagi. Memasuki hari kelima, anda boleh melawat ke sebuah lokasi yang sangat terkenal untuk melihat keindahan bunga sakura yang tumbuh kembang mekar iaitu di Yangmingshan National Park. Untuk ke lokasi tersebut, anda perlu berjalan beberapa minit sebelum tiba di kawasan yang penuh dengan pokok bunga sakura yang berwarna-warni. Tiada kata lain selain rasa syukur melihat keindahan alam yang sangat menenangkan. Penulis jamin, anda akan jatuh cinta selepas melihat bunga sakura di depan mata.
Selesai berjalan di Yangmingshan National Park, anda kemudian boleh ke sebuah restoran yang menyediakan makanan Melayu iaitu Kunming Islamic Restaurant. Penulis cadangkan anda untuk memesan ikan siakap masak tiga rasa, tom yam campur, telur dadar dan nasi penuh. Memang nikmat, terubat rindu pada Malaysia!
Apabila tiba di Taipei, anda juga perlu singgah ke sebuah hotel yang sangat mewah iaitu Grand Hotel. Grand Hotel mula ditubuhkan sejak tahun 1952 dan masih beroperasi sehingga kini. Untuk rekod, ramai orang ternama dan bangsawan yang pernah menginap di hotel mewah tersebut, antaranya Perdana Menteri Singapura yang mengingap sebanyak 25 kali, Nelson Mandela dan ramai lagi.
Day 6: Menara 101
Melengkapkan percutian, anda perlu singgah dan menyaksikan menara pencakar langit iaitu Taipei 101. Jangan lepaskan peluang anda untuk merakam gambar di hadapan menara tertinggi di bandar Taipei itu. Anda juga boleh membeli belah di bahagian dalam Menara 101.
Sebelum terbang pulang ke Malaysia, eloklah kiranya anda singgah menjamu selera di sebuah restoran yang menyediakan masakan masala iaitu di Masala Art. Walaupun berada di Taiwan tetapi bagai terasa berada di India setiap kali suapan makanan masuk ke mulut.
Sebagai kesimpulan, penulis berasa bangga apabila dapat mengenali bumi Taiwan yang sangat indah dan mesra Muslim. Mana tidaknya, di setiap lokasi yang penulis berhenti dan hotel yang menginap, kemudahan seperti surau, sejadah dan kiblat disediakan. Kalau soal makanan pula, terdapat banyak restoran halal di seluruh Taiwan, paling penting sedap dan kenyang!
Maka tidak hairan apabila seramai 437, 491 rakyat Malaysia dilaporkan melancong ke Taiwan dan menjadi lokasi percutian. Kerana Taiwan memang seronok! Jom Salam Taiwan.