Pelakon veteran, Jalil Hamid meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyampaikan sumbangan kepadanya semalam.
Bangga dapat pemimpin seperti Anwar
Jalil atau nama sebenarnya, Abdul Jalil Abdul Hamid, meluahkan rasa terharu apabila Anwar dilihat amat prihatin dan peka terhadap isu kesihatan di kalangan penggiat seni veteran sebagai perkara utama.
Ia satu benda yang sangat baik dan bermakna. Terima kasih sekali lagi kepada beliau (Anwar) kerana sama-sama menolong, membantu dan mengenang jasa artis-artis kita.
Sebelum ini, saya dapat juga sumbangan daripada beberapa pihak lain seperti Pusat Zakat Selangor (PZS). Ia termasuklah ada juga pihak tertentu beri sumbangan beras dan makanan.
Namun, sumbangan daripada Anwar agak istimewa. Syukur masih ada yang ingatkan kita yang sudah berumur dan tidak lagi mampu bekerja.
Tambah Jalil, sebagai penggiat seni dia berasa bangga kerana memiliki pemimpin yang ingat jasa-jasa orang seperti mereka.
Sebelum ini, tiada lagi Perdana Menteri sebegini yang memberikan tanggungjawab kepada suatu badan atau persatuan. Macam inilah, Perdana Menteri yang ada rasa prihatin terhadap penggiat seni. Semoga usaha ini diteruskan lagi. Sekarang pun kita dalam keadaan yang payah, jadi berbanyak terima kasih diucapkan.
Saya tak mampu nak cakap apa-apa lagi. Namun, dalam kepayahan kita, masih ada yang tolong. Alhamdulillah.
Terdahulu, Jalil disahkan mengalami masalah jantung selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang pada Mac tahun lalu dan kini banyak menghabiskan masa berehat di rumah.