Meskipun Konsert Milenia terpaksa ditangguhkan tiga kali berikutan pelbagai kekangan sebelum ini, Pengarah Urusan Mission Sight Sdn Bhd, Jeffri Yaacob berkata, dia sangat berpuas hati apabila konsert berkenaan akhirnya dilaksanakan, semalam.
Penonton menyanyi dan menari bersama
Konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu menampilkan tiga orang artis dari Indonesia iaitu Rheyna Morena, Hesty Aryatura dan Thomas Arya. Manakala, dari Malaysia pula terdiri daripada Amelina, Mas Idayu, Ani Maiyuni dan Baby Shima. Kehangatan di Zepp bermula apabila pelantun suara ‘Senggol Senggolan, Cubit Cubitan’ itu melakukan persembahan pembukaan.
Sepanjang konsert ini berlangsung, dapat menyaksikan kesemua penonton turut menyanyi dan menari bersama. Lebih mencuri tumpuan, terdapat beberapa orang rakan artis termasuk usahawan hadir ke konsert berkenaan. Antara yang hadir ialah, Dato Seri Vida, Datuk Ifa Raziah, Ayu Damit, Liana Rosli (Kak KM), Azharina Azhar, Syafiq Erwin dan anak kepada bekas penyanyi dangdut Iwan iaitu Aprena Manrose.
Suasana di Zepp turut dihangatkan dengan gandingan dua hos yang cukup berbakat dan lawak iaitu Angah dan Along Cham. Penonton yang bertuah semalam, turut menerima hadiah t-shirt dan wang ringgit daripada pihak penganjur.
Diusik sama ada bakal mengadakan Konsert Milenia 2.0 ataupun tidak untuk selepas ini, Jeffri memberitahu, ia bergantung kepada permintaan masyarakat dan peminat lagu-lagu dangdut.
Kalau ada 2.0 mungkin ada rombakan sikit dari segi artis, tapi ini semua kita akan fikir nanti. Saya puas hati tengok ramai yang seronok dan berhibur semalam.
Menurut artis-artis yang melakukan persembahan pula, mereka sangat gembira dan berpuas hati apabila penonton yang hadir turut menari dan menyanyi tanpa henti sepanjang konsert itu berlangsung.