Penyanyi Marsha Milan bakal mengadakan persembahan di Shanghai, China dalam masa terdekat ini.
Bawa lagu Sabah
Ketika ditemui Marsha atau nama lengkapnya Marsha Milan Londoh berkata, dia akan terbang ke negara tersebut pada hari Jumaat bagi mempromosikan kesenian budaya Malaysia selama dua hari.
Saya telah dirisik oleh Malaysia Tourism dan akan bersama-sama mereka ke Shanghai untuk mempromosikan budaya di negara ini.
Saya akan melakukan persembahan selama dua hari di sana.
Memandangkan bulan ini adalah Pesta Kaamatan dan Hari Gawai, jadi antara lagu-lagu yang akan dibawakan adalah lagu-lagu Sabah.
Saya akan melakukan persembahan secara solo dan berada di China selama empat hari.
Marsha berkata demikian seusai sidang media pelancaran muzik video lagu terbaharunya yang berlangsung di Warner Music Malaysia, Damansara pada Selasa.
Dalam pada itu, pelantun lagu Cinta tersebut berbangga dengan penyanyi dan pelakon Bella Astillah yang turut mengharumkan nama negara dengan melakukan persembahan di Wuhu Shenshan Music Festival 2024.
Marsha juga berharap ramai lagi bakat dari negeri di bawah bayu itu dapat melebarkan sayap dalam industri hiburan.
Saya rasa bangga sangat dengan Bella. Dia bukan sahaja berlakon malah dia mengembangkan bakat nyanyiannya.
Dari dulu lagi saya berharap agar ramai penyanyi dari Sabah berada di dalam industri ini.
Mungkin kerana jarak yang jauh dari Semenanjung dan platform seni di sana juga kecil.
Dalam perkembangan lain, penyanyi berusia 38 tahun itu melancarkan muzik video single terbaharunya berjudul ‘Hening Rindu’ yang menjadi runut bunyi bagi drama Akasia TV3 iaitu Aku Bukan Ustazah.