Pengarah Shahrulezad Mohameddin memberitahu dia tidak akan menghalalkan mana-mana pihak yang mencuri dan menyebarkan drama terbaharunya ‘Khunsa’ di mana-mana platform tanpa kebenaran.
Tak rasa bersalah malah bangga
Menerusi sebuah posting di Instagram, Shahrulezad atau lebih mesra disapa sebagai Budak Ijat berkata, memiliki dan mengedar harta inteleknya tanpa izin bukan sahaja salah tetapi haram.
Bila baca komen netizen tanpa bersalah dan bangga mencadangkan orang lain mencuri tonton hasil keringat kami cukup membuatkan hati kami terusik. Saya tak halalkan dunia dan akhirat bagi sesiapa yang tiada rasa bersalah mencuri hasil keringat kami tanpa izin.
Haram tu bukan saja pada arak dan babi saja tetapi memiliki, menonton atau mengedar harta intelek orang lain tanpa izin juga haram dan berdosa.
Tambah Budak Ijat, dia berasa terkilan apabila usahanya dan kru produksi tidak dihargai. Ini kerana, ramai yang menonton drama tersebut melalui platform haram.
Kalian mahu yang terbaik, maka kami cuba hasilkan terbaik juga. Jadi wajarkan usaha keringat kami dibalas begini?Kalau mahu saya dan pasukan teruskan yang terbaik untuk kalian, tolong jangan memuji kami tapi dalam masa yang sama kalian menikam kami dari belakang seperti ini.
Terdahulu, Budak Ijat memuat naik tangkap layar komen netizen di TikTok yang mencadangkan beberapa platform haram untuk menonton drama arahannya yang sedang viral di media sosial.