Penyanyi, Nikki Palikat menyangkal dakwaan yang mengatakan dia sedang sibuk dengan persiapan untuk majlis pernikahannya bersama seorang lelaki berstatus doktor.
‘Tak percaya perkahwinan’
Menurut Nikki atau nama lengkapnya Nicolette Louisa Palikat, 38, khabar angin tersebut adalah tidak benar sama sekali.
Eh mana ada, tidak ada langsung saya sibuk pilih pelamin. Saya sibuk promosikan lagu saya dan menjalani kehidupan seperti biasa.
Nikki berkata demikian ketika pada sidang media program Ramadan Astro 2024 yang diadakan di M Resort @ Hotel Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Nikki berkata kekasihnya itu tidak percaya pada perkahwinan dan mereka akui selesa untuk berkawan dan mengenali hati budi dengan lebih dekat.
Dia jenis seorang yang sangat peribadi. Dia tidak percaya pada perkahwinan, jadi bila dia tidak percaya saya tidak boleh untuk paksa dia kahwin. Nanti dia akan rasa tak bahagia dan tak rela.
Dia sejenis yang bukan perkahwinan atas kertas semata-mata. Walaupun dia begitu, tetapi saya suka, kerana saya jenis wanita yang romantik. Walaupun pernah berkahwin tapi saya tidak serik.
Saya terima keputusan dia bila kata tidak percaya pada perkahwinan, kerana saya betul-betul sayang dia. Kalau sayang saya perlu terima prinsip dia, biar waktu yang menentukan jika tiba masa untuk berkahwin.
Dia belum bersedia ke arah itu (kahwin) tetapi disebabkan kehadiran saya, mana tahu dia boleh consider untuk kahwin. Untuk masa sekarang, saya menikmati sahaja kehidupan saya.
Sementara itu, disoal mengenai penerimaan anak, Nikki berkata cahaya mata tunggalnya itu dan bekas suami menerima baik kehadiran kekasihnya.
Dia dengan anak dan bekas suami pun baik. Semua menerima dengan baik. Semuanya bagus.
Terdahulu, Nikki mengakui sedang berkenalan dengan seorang jejaka berstatus doktor yang berasal dari luar negara. Dipercayai, jejaka tersebut berusia empat tahun lebih tua daripadanya.
Imbas kembali, Nikki pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer, Audi Mok namun bercerai pada ketika dalam tempoh pandemik Covid-19.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak bernama Liam Audi yang kini berusia 12 tahun.