Penyanyi berpengalaman, Jay Jay mendedahkan dia pernah menerima bayaran yang sangat lumayan hanya untuk menyanyikan lagu emasnya yang berjudul ‘Rindu Bayangan’ di sebuah majlis yang diadakan di Istana Brunei.
‘Nyanyi satu lagu lepas itu balik’
Ketika ditemui, Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi arus berkata, pada waktu itu dia telah mendapat layanan yang sangat baik dan istimewa daripada pihak istana meskipun hanya perlu menyanyikan sebuah lagu.
Ada satu ketika, saya dijemput ke Istana Brunei hanya untuk menyanyikan lagu ‘Rindu Bayangan’.
Kalau nak ikutkan, saya tak boleh lah nak sebutkan berapa jumlah yang saya dapat tapi Alhamdulillah sangat lumayan.
Saya dibayar dengan bayaran lumayan, diberikan layanan yang sangat istimewa hanya untuk menyanyikan lagu tersebut. Memang saya nyanyi lagu itu sahaja lepas itu saya balik.
Jay Jay berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media konsert Voice of the Heart yang berlangsung di Conezion, Putrajaya yang diadakan baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai tips penjagaan suara, pelantun lagu ‘Joget Angan Tak Sudah’ itu memaklumkan bahawa dia hanya mengamalkan gaya hidup sihat seperti mendapatkan rehat yang cukup serta tidak merokok.
Sudah tentunya sebagai seorang penyanyi saya ada berpantang bila melibatkan makanan tapi tak adalah sampai tak makan pedas ke apa, durian pun kadang-kadang saya makan.
Saya tidak merokok dan mungkin itu menjadi asbab kenapa suara saya masih ‘maintain’. Selain saya, yang saya tahu tidak merokok termasuklah Datuk Ramli Sarip dan Datuk M. Nasir.
Bukan berhenti dari merokok ke apa tau, saya memang tak merokok dari muda lagi. Tapi sejujurnya saya tak ada masalah untuk dikelilingi dengan mereka yang hisap rokok sebab dalam kalangan ahli keluarga saya pun ada yang merokok.
Selain Jay Jay, antara artis lain yang akan memeriahkan lagi konsert Voice of the Heart termasuklah Ernie Zakri, Rahmad Mega dan Nadeera Zaini.
Sekadar info, konsert Voice of the Heart yang akan berlangsung pada 7 Mac 2024 ini adalah bertujuan untuk mengumpul dana bagi disalurkan kepada Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) untuk membantu saudara Islam di Palestin.