Penerbit dan pengarah terkenal, Shahrulezad Mohameddin berkata, dia tidak menolak untuk mengambil pendekatan yang sama dengan penerbit yang lain sekiranya seseorang pelakon itu bermasalah.
Siasat dan fikir dahulu
Memetik laporan Harian Metro, Shahrulezad berkata, dia tidak mahu membuat kesimpulan sendiri atau mengikut emosi menghakimi artis yang terbabit dengan kontroversi.
Biasanya kami akan siasat dan fikir kenapa perkara itu berlaku. Kadang-kadang mereka akan ada alasan tersendirilah yang semestinya berpihak kepada mereka. Saya juga mungkin akan ambil tindakan seperti dibuat Datuk A Aida.
Tapi sebelum itu saya akan siasat betul-betul dan teliti adakah wajar untuk boikot, ‘blacklist’ (senarai hitam), rasa ada salah faham di situ dan beri peluang, atau rehatkan mereka sekejap.
Saya kena hati-hati, tak boleh ikut emosi sangat. Pelakon pun kena menjaga perkara-perkara sebegitu kerana ia memang akan membabitkan kami di pihak produksi.
Tambah Shahrulezad, pihak produksi dan stesen televisyen akan menerima kesan yang kurang baik sekiranya netizen sudah masuk campur dan mereka pula yang akan menghakiminya.
Akan ada unsur boikot-memboikot sebab stesen TV akan mengelak ketengahkan artis bermasalah buat sementara waktu dan ia akan tetap menjejaskan produksi.
Walaupun kami ada hubungan baik dengan pelakon itu sendiri, akan jadi masalah bila stesen TV cakap bahaya kerana akan membabitkan ‘rating’.
Kebanyakan penonton drama di Malaysia majoritinya wanita. Kita kena faham isu-isu sebegitu, pasal penyondol, sangat sensitif. Mereka akan boikot dan tak peduli kontroversi itu betul atau tidak.