Bersempena acara Immersio: Inspirasi Generasi By TV3 di Muzium Telekom, Sabtu lalu, sempat menemu bual bekas penyampai berita dan pengacara Nona iaitu Ezzah Aziz Fawzy.
32 tahun bersama TV3
Foto: Wajah personaliti TV3 yang terus dikenali sehingga hari ini.
Sepanjang 32 tahun bersama TV3, Ezzah berkata, dia berjaya mengemudi pelbagai program menarik termasuk menjadi penyampai berita dan pengacara Nona. Tambah Ezzah, TV3 menyediakan platform yang terbaik buat dirinya untuk menimba ilmu serta pengalaman.
Terlalu banyak pengalaman diraih bukan sahaja sebagai hos, sebaliknya, ketika bekerja di belakang tabir sebagai penerbit. Saya sertai TV3 selepas habis belajar pada usia 23 tahun. Saya mula bekerja di ‘newsroom’ sebagai wartawan penyiaran.
Kemudian, nasib saya baik apabila saya ditugaskan sebagai penyampai berita slot petang disusuli Buletin Utama (BU). Ketika rakan setugas, Wan Zaleha Radzi dihantar menjalani latihan di CNN, saya diminta menggantikan beliau mengemudi Majalah 3.
Sebaik Wan Zaleha pulang, saya mengacarakan program Nona selepas Farahin Jamsari menjadi hos. Jadi, macam-macam pengalaman saya kutip selama bersama TV3.
Antara yang menyeronokkan apabila saya diberi kepercayaan untuk menerbitkan program Sounds Of Muslims. Dalam program itu, saya bersama Altimet menjelajah beberapa negara seperti Austria dan Denmark, iaitu negara yang tidak banyak didiami orang Islam.
Banyak perkongsian bersama komuniti Islam di negara terbabit saya peroleh, membuatkan saya bersyukur dilahirkan sebagai Muslim.
Berbicara lebih lanjut, Ezzah turut meluahkan rasa gembira kerana TV3 memberi peluang buat dirinya untuk mencari resipi tinggalan nenek moyang bersama Chef Anis Nabilah dalam program majalah, Mencari Resipi Temurun.
Disoal pula mengenai sikap dan kriteria yang perlu ada bagi seseorang penyampai agar kekal relevan dalam dunia penyiaran, Ezzah secara ringkas menjawab, individu terbabit perlu memiliki sikap rendah diri dan tidak putus asa mendalami ilmu.
Anda perlu menjadi individu merendah diri. Anda perlu belajar dari bawah, iaitu bermula dari wartawan penyiaran dan timba semua aspek mengenai dunia penyiaran. Insya-Allah, dengan tekad itu, anda boleh terus relevan.
Alhamdulillah, saya masih bertugas sebagai pengacara sambilan dan kadang-kadang dijemput berkongsi pengalaman.
Sekadar info, Ezzah memulakan kariernya di TV3 pada tahun 1987. Kini, beliau berkhidmat sebagai Profesor Adjung Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).