Pelakon Puteri Sarah Liyana nekad memfailkan saman terhadap seorang pegawai pemasaran yang menuduhnya menipu dalam urusan perniagaan membabitkan mereka berdua.
Tuntut ganti rugi RM1 juta
View this post on Instagram
Menerusi hantaran di Instagram (IG), Puteri Sarah memuat naik notis tuntutan kenyataan fitnah terhadap Nazatul Nazira Binti Zainol Abidin yang bertujuan untuk menjatuhkan reputasinya sebagai selebriti dan ahli perniagaan.
Berdasarkan notis yang dikeluarkan, terdapat lima bukti kenyataan yang dimuat naik di Instagram Stories dan WhatsApp Stories.
Antaranya adalah menuduh Puteri Sarah mengambil dadah, menganggap diri sebagai rakan kongsi, menggelar Puteri Sarah seorang bodoh sombong, menyara atau membela individu yang dipercayai bernama ‘Andy’ dan seorang ketua yang tidak bertanggungjawab terhadap pekerja-pekerja.
Perintah injunksi
Susulan itu, pemilik nama Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin menuntut ganti rugi sebanyak RM1 juta secara berasingan untuk kerosakan yang dilakukan terhadap status, reputasi, maruah, imej serta tekanan mental dan emosi.
Selain itu, individu berkenaan dikehendaki membuat permohonan maaf secara terbuka serta Puteri Sarah menuntut perintah injunksi bagi menghalang daripada menerbit sebarang kenyataan berkaitan isu terbabit.
Terdahulu, Melodi telah menemu bual seorang individu yang mendakwa dirinya telah ditipu oleh seorang pelakon terkenal yang juga merupakan rakan perniagaannya.
Dakwa individu terbabit, aktres itu telah memutar belit cerita dan mengeluarkan kenyataan yang tidak benar di laman sosial.
Selain itu, dia juga mendakwa sudah berusaha untuk berjumpa dengan aktres terbabit bagi berbincang dan menyelesaikan masalah antara mereka, namun tiada respon diberikan.
Meskipun tidak menyebut nama mana-mana pihak, namun rata-rata netizen mendakwa aktres yang dimaksudkan ialah Puteri Sarah.
Sebelum ini, ibu kepada dua cahaya mata mendakwa seorang pegawai pemasaran yang dilantik telah mengenakan caj sebanyak 45 peratus daripada keuntungan perniagaan yang diperolehnya.
Menurut aktres itu, dia telah mengupah individu berkenaan sejak Oktober tahun lalu untuk mengendalikan pemasaran produknya, namun kerja yang dilakukan tidak mencapai standard yang ditetapkan.
Bertambah buruk lagi, apabila individu itu tidak mengotakan janjinya untuk menjadi ejen atau stokis produk berkenaan.
Tegasnya, dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pegawai pemasaran terbabit sekiranya masih berdegil memulangkan wang berjumlah RM26,000 miliknya.