[ad_1]
Kalau korang peminat dunia solekan dan suka ‘mengintip’ media sosial jurusolek-jurusolek tempatan, pasti korang kenal lelaki dari Kota Tinggi, Johor Bahru ini.
Mempunyai perwatakan yang sangat ceria, lelaki yang dikenali sebagai Ashy Reef ini tampil berkongsi mengenai perjalanan hidupnya sebagai jurumekap.
Belajar sendiri sebab tak mampu
Menerusi temu bual bersama Ashy atau nama sebenarnya Mohd Rifqi Bin Zaki berkata, dia tidak menyangka bidang solekan ini mampu memberikan rezeki buat dirinya sehingga kini.
Pada mulanya saya tak minat mekap apatah lagi terfikir mahu jadi jurumekap. Ketika umur saya 20 tahun, saya ada jual sebuah jenama ini. Jenama ini pula ada banyak produk seperti minyak wangi, pakaian dalam wanita dan barang mekap.
Sebagai jurujual, saya kena tahu semua jenis produk tersebut. Dari situ juga saya baru tahu pasal barang mekap. Lama-kelamaan, saya sedar yang saya suka benda yang cantik. Saya pun belilah sikit demi sedikit dan guna untuk diri sendiri.
Saya belajar mekap sendiri sampai dapat keyakinan untuk mekap ahli keluarga dan saudara mara.
Disoal sama ada pernah menghadiri kelas atau mana-mana kursus solekan, anak kedua daripada tiga orang adik beradik ini berkata, dia hanya belajar daripada Youtube. Ini kerana, dia tidak mampu membiayai yuran mana-mana kursus solekan pada masa tersebut.
Harga nak masuk kelas belajar bukan murah. Saya berasal dari keluarga yang biasa sahaja. Masa saya mula-mula nak jinak dalam bidang ini, saya kerja di kedai makan dan jaga parking sahaja. Barang-barang mekap pun saya beli dari pasar malam pada waktu itu. Lagipun zaman itu tiada TikTok lagi. Youtube sahaja jadi tempat saya menimba ilmu.
Bercerita lebih lanjut, Ashy berkata dia mula memberanikan diri untuk menyertai pertandingan mekap yang diadakan di Johor.
Apabila saya sudah ada keyakinan, pertandingan menjadi tempat saya untuk menunjukkan bakat. Lebih membuatkan saya bersemangat, separuh daripada pertandingan yang saya masuk, saya dinobatkan sebagai pemenang. Alhamdulillah, rezeki sangat.
Hijrah ke Kuala Lumpur
Hasil solekan Ashy
Selepas menyertai banyak pertandingan di Johor, jejaka berusia 30 tahun ini memberitahu dia mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur demi mencari rezeki.
Waktu saya mula-mula sampai di Kuala Lumpur, ada beberapa orang kawan saya tolong bagi job. Saya ingat lagi, artis pertama yang saya sentuh untuk mekap ialah Azharina Azhar. Masa itu dia nak buat promo lagu ‘Lakar Janji’ dekat Sri Pentas, Bandar Utama.
Dari situ jugalah saya dapat banyak job daripada artis-artis lain juga. Mereka semua sangat baik dan memberi saya peluang untuk berkarya. Sampai sekarang, Azharina dengan saya dah macam ahli keluarga. Mana-mana konsert ataupun private show dia saya yang akan mekap. Saya rasa bersyukur sangat.
Ditanya pula mengenai program Malaysia Top Mua yang diadakan pada tahun 2020, Ashy mengakui bahawa program tersebut membuka pintu rezeki buat dirinya untuk terus dikenali sehingga ke hari ini.
Saya tak sangka boleh jadi juara program tersebut. Duit kemenangan pada masa itu, saya terus beli kereta. Saya tahu kerjaya sebagai jurumekap ini memerlukan pengangkutan. Saya perlu bergerak ke banyak tempat. Jadi, saya terus beli kereta selepas menang program itu. Selebihnya, saya bagi dekat ibu bapa. Bagi saya, berkat doa mereka juga membuatkan saya berjaya sampai ke tahap ini.
Di akhir temu bual, Ashy sempat memberi sedikit kata-kata semangat buat mereka yang mahu menceburi bidang mekap ini.
Kalau rasa ada minat, teruskan minat tersebut. Bermula dari bawah, jangan sombong dan tanya pandangan dekat orang yang lebih berpengalaman. Masuk kelas untuk tambah ilmu kalau mampu. Paling penting buat kerja dengan ikhlas. Insya-Allah rezeki yang dapat pun ikhlas. Ingat, semua pekerjaan bukan mudah dalam dunia ini.
[ad_2]