Bekas pelajar tingkatan enam, Siti Nur Athirah Azmi, 23, dijatuhi hukuman penjara 30 tahun di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu atas pertuduhan membunuh rakannya, empat tahun lalu.
Hukuman penjara 30 tahun
Memetik laporan Harian Metro, keputusan itu dibuat Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani selepas tertuduh mengaku bersalah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Siti Nur Surya Ismail, 19, di rumah di Kampung Lubuk Batu, Jalan Bukit Tadok, Telemong, Hulu Terengganu antara jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi pada 1 November 2020.
Siti Nur Athirah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Namun, tertuduh diberikan hukuman pemenjaraan berdasarkan kepada pindaan terkini mengikut Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 2 November 2020.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Mohd Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili peguam, Azura Ghazali.
Terdahulu, dilaporkan seorang remaja ditemui mati dipercayai dibunuh dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badan termasuk putus pergelangan tangan kiri.
Dalam kejadian tersebut, mangsa ditemui tertiarap di ruang tamu rumah oleh adiknya yang baru pulang dari sekolah.