Nama tiga penyanyi HipHop iaitu Luca Sickta, Kmy Kmo dan Yonnyboii sudah tidak asing lagi dalam industri muzik Malaysia.
‘Perlu’
Nama mereka kerap menjadi sebutan selepas menghasilkan karya hebat untuk beberapa nama besar seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M. Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Sufian Suhaimi dan ramai lagi.
Terbaharu, Luca Sickta, Kmy Kmo dan Yonnyboii bergabung memperkenalkan sebuah karya berjudul ‘Perlu’ yang mana melodi dan lirik diiilhamkan oleh mereka sendiri selaku komposer dan penulis lagu.
Menurut Yonnyboii, mesej yang ingin disampaikan dalam ‘Perlu’ adalah menjadi manusia yang yakin dan percaya pada diri.
Saya membayangkan seolah-olah saya sedang berbual dengan diri saya dari masa lalu dan sedang cuba menyelamatkannya daripada masalah yang mengelilinginya.
Saya ingin menyampaikan bahawa kita harus selalu menikmati hari ini dan jangan ragu-ragu walau apa pun yang bakal tiba di masa hadapan ujar Yonnyboii membuka bicara tentang lagu ini.
Bercakap mengenai proses pembikinan, Luca Sickta menjelaskan bahawa demo versi pertama ‘Perlu’ sebenarnya telah dirakam pada tahun 2021 oleh Yonnyboii, namun digubah kembali untuk mendapat kesimbungan untuknya dan Kmy Kmo.
Proses gubahan muzik memakan masa dua tahun dan akhirnya siap di penghujung tahun 2023 setelah selesai proses rakaman bersama Kmy Kmo.
Untuk lagu ‘Perlu’ ini juga saya dan dan Kmy keluar dari zon selesa kami dan kami bayangkan kami sendiri di dunia Yonnyboii untuk mendapat keserasian.
Walaupun memakan masa yang agak lama dari biasa namun dengan kesefahaman antara kami ianya mampu dibina kerana initipati lagu ‘Perlu’ sendiri telah memudahkan dan menyempurnakan karya kali ini.
‘Dua watak yang berbeza’
Sementara itu, Kmy Kmo berkata muzik video ‘Perlu’ akan menceritakan gambaran dua watak berbeza yang ada dalam diri setiap manusia.
Konsep untuk video muzik lagu ‘Perlu’ ini adalah lebih ke arah penonjolan perspektif dua dunia berbeza dari setiap karakter terbabit yang ingin menceritakan perjalanan masing masing.
Ia mengisahkan tentang kita semua yang sentiasa hidup dalam dua watak yang berbeza. Bila setiap kali kita jatuh dengan watak negatif, watak positif akan hadir untuk bantu membakar semangat kita semula supaya terus yakin dalam setiap hasil usaha.
Menurut mereka bertiga terdapat banyak lagi karya yang bakal dikeluarkan dan berharap supaya semuanya sempat dilancarkan tahun ini.
‘Perlu’ kini sudah boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.
Manakala, muzik video juga telah ditayangkan secara eksklusif dan boleh di tonton menerusi saluran YouTube rasmi Kmy Kmo.